Pelajaran 1
KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN
KEPADA RASUL-RASUL
Pedoman Hidup
Supaya negara maju teratur, tiap-tiap negara mestilah mempunyai undang-undang sendiri. Begitu juga ugama Allah mempunyai undang-undang dan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-rasulnya untuk menjadi pedoman hidup umat yang dipimpin oleh Rasul-rasul itu.
Suhuf dan Kitab
Undang-undang yang diturunkan oleh Allah itu terbahagi dua, iaitu:
- Suhuf (صحف)
- Kitab-kitab
Suhuf itu ialah merupakan semacam kertas yang berlembar-lembar. Di dalamnya mengandungi hukum-hukum dasar yang tidak lengkap satu persatunya. Suhuf yang telah diturunkan Allah ialah 100, iaitu:
Adapun al-kitab ialah merupakan undang-undang yang lengkap mengandungi soal-soal yang berhubung dengan masyarakat, ibadat dan soal-soal akhirat. Banyak al-kitab diturunkan kepada Rasul-rasul ialah empat buah, iaitu:
- Taurat
- Zabur
- Injil
- Al-Quran
Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Di antara kandungannya ada menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan juga mengandungi hukum-hukum agama.
Zabur diturunkan kepada Nabi Daud dalam bahasa Suryani. Kitab ini dinamakan juga Mazmur. Di dalamnya mengandungi doa-doa, zikir-zikir dan nasihat-nasihat tetapi tidak mengandungi hukum-hukum ugama kerana Nabi Daud diperintah mengikut ugama Nabi Musa, tidak syariat baharu.
Injil diturunkan kepada Nabi Isa dalam bahasa Ibrani. Di antara kandungannya mengandungi hukum-hukum yang membatalkan setengah hukum yang di dalam kitab Taurat, juga ada menyatakan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., Nabi yang akhir.
Sekarang kitab Injil yang asli ini sudah tidak ada lagi. Kitab-kitab Injil yang ada sekarang ini bukan asli lagi kerana kitab-kitab ini ditulis oleh orang-orang Kristian yang hidup selepas Nabi Isa. Di antara kitab-kitab Injil yang ada sekarang ini ialah:
- Injil Marqas
- Injil Matta
- Injil Luqa
- Injil Yuhanna
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam bahasa Arab. Di dalamnya mengandungi hukum-hukum, pengajaran-pengajaran, nasihat-nasihat, cerita-cerita sejarah dan segala ilmu pengetahuan yang memimpin umat manusia kepada kebenaran, ketinggian dan kemuliaan dunia dan akhirat. Segala kandungannya sesuai untuk digunakan oleh semua bangsa bagi setiap masa dan segenap tempat. Kandungannya itu tidak akan terubah atau terpinda selama-lamanya tidaklah sebagaimana kitab-kitab yang lain-lain itu. Kandungan Al-Quran memansuhkan hukum-hukum kitab-kitab yang terdahulu daripadanya.
Kesimpulannya
Sebagai kesimpulan, kita orang-orang Islam wajib percaya dengan penuh keyakinan bahawa Allah ada menurunkan beberapa buah kitab suci kepada Rasul-rasulnya. Yang terbesar ialah:
- Taurat, diturunkan kepada Nabi Musa
- Zabur, diturunkan kepada Nabi Daud
- Injil, diturunkan kepada Nabi Isa
- Al-Quran, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Latihan
- Apa tujuan kitab-kitab suci diturunkan kepada Nabi?
- Apa perbezaan Suhuf dengan Al-Kitab?
- Berapakah jumlah kitab-kitab suci dan sebutkan nama-namanya?
- Kepada siapakah kitab Injil diturunkan?
- Apakah kelebihan kitab Al-Quran daripada kitab-kitab lain?
- Sebutkan dengan ringkas garis-garis kasar kandungan kitab suci Al-Quran.
Comments
Post a Comment