Pelajaran 2
HUJJAH-HUJJAH AL-QURAN ITU DITURUNKAN
OLEH ALLAH KEPADA NABI MUHAMMAD
Tarikh Mula-mula Turun Al-Quran
Al-Quranul-karim diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. tidak sekaligus, tetapi secara beransur-ansur. Tarikh permulaan turunnya Al-Quran ialah pada 17 Ramadhan (رمضان) tahun keempat puluh satu daripada usia Rasulullah. Diturunkan ketika baginda berada di dalam Gua Hira' (حراء).
Ayat Yang Mula-mula Diturunkan
Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan ialah:
Ertinya:
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan. Menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhan engkau Maha Mulia, yang mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa-apa yang belum diketahui mereka.
Hujjah-hujjah Al-Quran diturunkan oleh Allah
Apakah hujjah-hujjah yang menunjukkan bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh Allah kepada Nabi, bukannya dicipta oleh Nabi sendiri? Di antara hujjah-hujjah yang menunjukkan Al-Quran itu diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah:
- Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. terkenal di kalangan kaum bangsanya seorang yang ummi (buta huruf) tidak dapat membaca dan menulis, tentulah tidak dapat hendak menyusun sebuah kitab yang begitu tinggi mutu dan nilainya itu. Jadi, tetaplah Al-Quran itu diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad, bukannya dicipta oleh Nabi sendiri.
- Setelah Allah melantik baginda sebagai pesuruhnya, terus orang-orang Arab mendustakan baginda dan tidak mempercayainya. Untuk menolak tuduhan-tuduhan itu dan sebagai bukti kebenarannya, baginda terus membaca ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada badinda. Kalaulah Al-Quran itu ciptaan Nabi, bukannya datang daripada Allah, tentulah sudah lama baginda membaca ayat-ayat itu sebelum baginda dilantik menjadi Rasul lagi. Ini jelas membuktikan Al-Quran itu datangnya daripada Allah, bukannya ciptaan Nabi.
- Kalaulah Al-Quran itu ciptaan Nabi sendiri, tentulah ahli-ahli sastera Arab yang masyhur pada masa itu dapat menandingi isi Al-Quran itu. Sebagai bukti Al-Quran itu sebenarnya daripada Allah, orang-orang Arab yang terkenal pitah bercakap dan tinggi dalam kesusasteraan itu, tidak seorang pun dapat menandinginya, apalagi mengatasi kehalusan dan ketinggian mutu isi Al-Quran yang mencabar mereka supaya cuba menandingi Al-Quran.
- Setelah mereka itu tidak dapat menandingi atau meniru kandungan Al-Quran itu, maka Allah menempelak mereka dengan firmanNya:
(سورة الاسراء : ٨٨)
Ertinya:
"Katakanlah: Sesungguhnya kalau manusia dan Jin itu berkumpul untuk menciptakan seperti Al-Quran ini, tentu mereka tidak akan dapat mencipta sepertinya, biarpun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi yang lain."
( Surah Al-Israa' 17:88 ) - Akhirnya setelah mereka yakin akan kebenaran Al-Quran dan kebenaran Rasulullah s.a.w. terus mereka menganut Islam beramai-ramai. Hal ini menunjukkan Al-Quran itu sebenar-benarnya diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
- Ketinggian mutu Al-Quran telah diakui bukan sahaja oleh sarjana-sarjana di zaman moden ini, dan hingga ke hari ini tidak seorang pun ahli bijak pandai yang dapat mengarang menandingi ketinggian mutu Al-Quran. Hal ini jelas menunjukan Al-Quran itu sebenar-benarnya diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Pengakuan Lawan Terhadap Al-Quran
Bagi menguatkan hujjah-hujjah tentang ...
- Al-Walid bin Mughirah, seorang ketua musyrikin Mekah yang sangat-sangat memusuhi Nabi bila mendengar sesuatu ayat Al-Quran, terus berkata di antara lain: "Demi Allah! Tidak ada yang dapat menandingi sedikitpun dengan apa yang dibaca oleh Muhammad s.a.w. Demi Allah! Sungguh manis perkataannya. Sungguh indah susunan kata-katanya..... tidak ada yang lebih tinggi daripada itu."
- Utbah bin Rabiah, seorang pemuda yang bijak berpidato dan handal berdebat, di antara lain ia berkata: "Demi Allah, selama saya hidup ini, saya belum pernah mendengar perkataan yang seperti perkataan Muhammad s.a.w. Perkataan itu bukan syair kerana Muhammad s.a.w. bukan tukang syair, bukan perkataan tukang tilik kerana ia bukan tukang tilik dan bukan juga perkataan orang gila kerana ia bukan gila. Oleh itu saya tidak dapat menjawab perkataan yang diucapkan oleh Muhammad s.a.w. itu."
- Goethe, ahli falsafah bangsa Jerman di antara lain berkata "Al-Quran itu mempunyai susunan kata yang elok dan indah, juga isi dan tujuannya mengandungi sesuatu pedoman bahagia."
- Professor Dr. Edenard Monter berkata: "Barangsiapa yang berkata Al-Quran itu tidak mengandungi peradaban yang tinggi dan elok, ia adalah orang yang tolol."
Kenyataan-kenyataan di atas semuanya menunjukkan kebesaran dan ketinggian mutu Al-Quran yang mana semuanya itu menunjukkan sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan oleh Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Sekianlah di antara hujjah-hujjah yang membuktikan Al-Quran itu datangnya daripada Allah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dapatlah kita ringkaskan seperti berikut:
- Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur seyat demi seayat, tidak dengan sekaligus.
- Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan ialah surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.
- Tarikh mula turun Al-Quran ialah pada 17 Ramadhan tahun 41 daripada usia Rasulullah s.a.w. ketika baginda beribadat di Gua Hira'.
- Hujjah-hujjah Al-Quran diturunkan oleh Allah ialah:
- Nabi terkenal sebagai seorang ummi tentulah tidak dapat menyusun sebuah kitab yang begitu tinggi mutunya. Tentulah Al-Quran itu sebenar-benarnya diturunkan oleh Allah.
- Nabi membaca ayat-ayat Al-Quran setelah baginda dilantik menjadi Rasul. Kalaulah Al-Quran itu dibuat oleh Nabi sendiri tentulah baginda membacanya sebelum dilantik menjadi Rasul lagi.
- Kandungan Al-Quran tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun hingga ke hari ini.
Latihan
- Bila dan di manakah ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan? Apakah ayat itu?
- Berikan beberapa alasan yang membuktikan Al-Quran itu datangnya daripada Allah.
- Mengapakah orang Arab menganut Islam beramai-ramai setelah mereka menentang Islam?
- Huraikan dengan ringkas salah sebuah daripada pendapat sarjana-sarjana zaman moden ini tentang Al-Quran.
Comments
Post a Comment